Khamis, 2 September 2010

MAJLIS KHATAM AL QURAN DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN ANAK-ANAK YATIM DAN MURID MISKIN

Pada 1 September yang lalu, SK Taman Keramat 1 telah mengadakan majlis Khatam Al Quran dan Penyampaian Sumbangan Kepada Murid Miskin dan Anak yatim.

Majlis ini saban tahun diadakan sempena bulan Ramadhan. Tujuan utama majlis ini adalah untuk menggalakkan murid-murid mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan bacaan Al Quran di samping memberikan sumbangan untuk murid-murid yang memerlukan bagi memberi peluang mereka menyambut Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Pada tahun ini seramai 134 orang murid tahun 2 hingga tahun 6, mengambil bahagian dalam acara khatam Al Quran, manakala seramai 115 orang murid-murid miskin dan anak yatim telah menerima sumbangan daripada pihak-pihak yang bermurah hati untuk memberikan sumbangan kepada mereka.

Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para menderma sama ada dari agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, atau agensi swasta seperti Bank Rakyat dan Sapura serta ibu bapa, individu-individu dan guru-guru.

Semoga sumbangan yang diberikan oleh pihak berkenaan akan dapat meringankan sedikit tanggungan bagi ibu bapa murid-murid ini dalam menyediakan keperluan mereka untuk menyambut Hari Raya pada tahun ini.


Antara gambar-gambar sekitar Majlis yang diadakan
















MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN MELUKIS & MEWARNA JALUR GEMILANG


Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan yang masih berjalan, pihak sekolah telah mengadakan Pertandingan mewarna dan melukis Jalur Gemilang. Pertandingan yang disertai oleh murid-murid tahun 1 hingga 3 ini telah dijalankan pada 25 Ogos yang lalu.

Pertandingan ini diadakan bertujuan memupun semangat cintakan bendera Negara di samping menyemai semangat patriotik di kalangan murid-murid sekolah ini.

Pada 1 September yang lalu majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pn Hj Zaiton bt Awang selaku penyelia petang. Dengan hadiah-hadiah yang disediakan kepada para peserta ini juga diharapkan lebih menggalakkan lagi mereka untuk mengambil bahagian dalam acara-acara yang sebigini di masa hadapan.